fbpx

Mayat warga asing ditemui di parkir kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui terbaring di atas hamparan kotak pagi tadi.

PUTRAJAYA – Mayat seorang pekerja warga asing ditemui dalam keadaan terbaring atas hamparan kotak di kawasan meletak kereta sebuah kondominium dalam pembinaan di Presint 15 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan tentang penemuan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati si mati merupakan warga Bangladesh yang bekerja sebagai pemasang mozek di kondominium berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, si mati yang merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai mengalami serangan jantung dan tiada sebarang kecederaan luaran lain yang ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, mayat tersebut ditemui terbaring atas hamparan kotak yang dijadikan sebagai tempat berehat di bahagian bawah tanah kondominium sedang dalam pembinaan itu.

“Majikan si mati turut berada di lokasi dan kesemua saksi akan diambil keterangan.

“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat yang akan dibuat sebaik keputusan ujian Covid-19 si mati diperolehi,” ujar beliau.

Tambah A. Asmadi, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SRD) sehingga bedah siasat selesai dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI