SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) masih menunggu keputusan siasatan berhubung isu jurulatih yang menampar pipi dua pemainnya di Johor baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, siasatan itu telah selesai dan kini dibawa ke Unit Tatatertib dan Integriti KPM untuk tindakan selanjutnya.
“KPM tidak akan berkompromi dalam soal keganasan, keputusan siasatan itu sudah pun berada dalam pengetahuan Unit Tatatertib dan Integriti KPM.
“Proses ini penting sejak dari awal dan guru terlibat dalam kes ini boleh buat representasi (penjelasan),” katanya ketika ditemui pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkembangan siasatan kes dua pelajar perempuan yang ditampar jurulatihnya ketika kejohanan Bola Tampar Bawah 14 tahun (B14) baru-baru ini.
Sebelum ini, tular satu video berhubung insiden terbabit sehingga mendapat kecaman oleh pengguna media sosial serta maklum balas daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Susulan insiden itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara jurulatih terlibat.
Bagaimanapun, ibu bapa kepada atlet remaja terbabit memohon supaya jurulatih berkenaan dikekalkan dengan meminta semua pihak menghentikan kecaman mahupun mengambil sebarang bentuk tindakan. -KOSMO! ONLINE