KOTA BHARU – Empat lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat ditahan tidak sampai 24 jam selepas lari meninggalkan kereta dinaiki mereka yang membawa dadah jenis ketamin seberat 25.5 kilogram bernilai RM1.4 juta di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Laloh dekat Kuala Krai kelmarin.
Kesemua suspek berusia 16 hingga 30 tahun itu dicekup dalam empat serbuan berasingan di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang kira-kira pukul 11 malam kelmarin hingga 4 petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki keempat-suspek dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa tiba di SJR Kampung Laloh kira-kira pukul 8 malam.
Menurutnya, semasa anggota tersebut mahu memeriksa kereta terbabit, kesemua suspek terus keluar dan lari meninggalkan kereta itu.
“Anggota JPJ terus menjalankan pemeriksaan di dalam bahagian kereta itu sebelum menemui dua guni yang berisi 15 bungkusan berisi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis ketamin.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui 11 bungkusan mengandungi serbuk sama di dalam sebuah beg pakaian. Anggota JPJ telah menyerahkan kesemua dadah yang dianggarkan seberat 25.5 kilogram itu kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, siasatan lanjut berhubung penemuan dadah itu, polis telah menjalankan empat serbuan di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang sebelum menahan keempat-empat suspek.
Katanya, dadah-dadah tersebut dipercayai diperoleh dari Thailand dan ia akan dijual di pasaran di luar Kelantan.
“Dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 41,500 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti butiran lanjut mengenai kegiatan mereka dalam pengedaran dadah. Setakat ini, kita masih belum mendapat maklumat sama ada kumpulan itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa atau sebaliknya,” katanya.
Muhamad Zaki memberitahu, dua suspek direman tujuh hari bermula semalam manakala dua lagi bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE