NEWCASTLE – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menghamburkan pujian terhadap Harry Maguire apabila membantu pasukan itu menewaskan Newcastle United 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park awal pagi semalam.
Maguire yang menerima kecaman hebat pada awal musim ini mencetus semangat kebangkitan United apabila menjaringkan gol penyamaan ketika ketinggalan 0-1 hasil gol sendiri Luke Shaw.
Kemudian, skuad The Red Devils menampilkan aksi lebih baik sebelum menambah tiga lagi gol menerusi jaringan Bruno Fernandes, Aaron Wan-Bissaka dan Marcus Rashford.
“Sudah tentu kekalahan 1-6 kepada Tottenham Hotspur sebelum ini menjadikan aksi menentang Newcastle satu perlawanan yang besar. Kami sudah tunjukkan kemampuan sebenar yang dimiliki United.
“Saya fikir semua pemain sudah jalankan tugas dengan baik untuk bangkit daripada kekalahan memalukan. Maguire menjalankan tugas dengan baik apabila menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan,” kata Solskjaer.
Sementara itu, Fernandes turut memuji rakan sepasukannya yang lain apabila tidak mudah berputus asa bagi memastikan kemenangan kedua United bagi saingan liga musim ini.
“Kami bermain dengan sangat baik walaupun saya gagal menyempurnakan sepakan penalti. Saya gembira kerana kami menang serta menampilkan aksi cukup baik,” ujar Fernandes.
– AGENSI