TAPAH – ‘Ayah sangat rindukan cucu-cucunya yang berada di Lembah Klang.”
Itu antara perkara yang diluahkan Allahyarham Mohamed Tahir Junus, 64, kepada anak lelakinya, Azrul Azizul Mukminin, 30, ketika mereka bertemu di Air Kuning, Tapah baru-baru ini.
Bagaimanapun, hasrat Mohamed Tahir itu tidak kesampaian apabila dia bersama isteri, Nor Aini Mohd. Sam, 56, maut dalam nahas membabitkan sebuah Proton Saga dan Perodua Myvi di
Kilometer 88, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Turut maut dalam kejadian itu ialah pemandu Myvi, Muhammad Ridhwan Ismail, 24.
Menurut Azrul, ungkapan bapanya itu dianggap luahan rindu seorang datuk kepada cucunya yang tinggal di Petaling Jaya.
“Biasanya pada hujung minggu, ayah dan emak akan berjalan ke rumah anak-anak, sama ada ke rumah saya di Tapah atau rumah kakak di Kuala Lumpur.
“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, ayah hanya datang ke rumah saya.
“Ketika itulah dia luahkan perasaan rindunya kepada semua cucu-cucu,” kata Azrul.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Ridhwan dari Subang Jaya ke Teluk Intan dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri,” katanya.
“Pasangan suami isteri itu disahkan maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Ridhwan meninggal dunia di Hospital Slim River,” katanya.