PETALING JAYA – Situasi dilalui Puteri Sarah Liyana Kamaruddin turut meraih perhatian ramai rakan selebriti yang tidak putus-putus memberikan sokongan termasuk usahawan dan personaliti media sosial, Intan Saleh.
Pernah berdepan keadaan sama, pemilik nama lengkap Intan Liana Saleh itu mengakui memahami perasaan seorang wanita yang dikhianati suami sendiri.
“Aku tahu macam mana perasaanya. Tak tahu nak nangis ke nak apa. Terdiam. Itu aku,” tulisnya dalam hantaran dalam Insta Story.
Intan juga tidak ketinggalan menitipkan pesan kepada Puteri Sarah supaya terus kuat menghadapi segala dugaan mendatang.
Katanya dalam hantaran lain, dia yakin ibu kepada dua cahaya mata itu mampu bertahan memandangkan pelakon tersebut merupakan seorang individu kuat semangat.
“Untuk Sarah terus kuat ya. Sarah dah terlebih kuat. Intan percaya Sarah dah buat yang terbaik. Tak apa, biar orang buat kita. Jangan kita buat orang. Rasa nak peluk Sarah sekarang,” katanya.
Menerusi beberapa perkongsian berbeza, Intan dilihat seakan meluahkan perasaan geram terhadap perbuatan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof kepada sahabatnya itu.
“Kejam, itu saja aku nak cakap. Sakitnya, Ya Allah. Jangan nak cakap jodoh ke apalah. Eh, aku tak bolehlah. Maaf semua saya tengah menggigil ni geram. Emosi betul.
“Selalu orang yang buat hal ini akan rasa dia sentiasa betul. Lepas itu puaslah cari salah kita. Eh, emosilah saya.
“Hidup ini tak selalunya di atas. Sekarang kau fikir kau saja yang betul. Allah kalau nak tarik apa yang kau ada sekejap saja,” tulisnya lagi meluahkan rasa geram.
Pada masa sama, Intan turut mengingatkan suaminya, Mohd. Aizam Yahya supaya tidak melakukan perbuatan serupa, selain bersikap jujur andai mempunyai ‘orang baharu’.
Malah secara bergurau, dia berharap lelaki yang menjadi teman hidupnya sejak dua tahun lalu itu tidak menjaja cerita buruk mengenainya kepada wanita lain.
“Cinta (suami), kalau awak ada niat nak curang dengan saya atau pun apa-apa lah, bagi tahu saya saja. Kalau sudah ada perempuan lain jangan pula cerita buruk tentang saya.
“Perempuan akan suka dengar buruknya isteri pertama dan dia akan buatlah sehabis baik untuk awak!
“Ingat cinta, saya sudah banyak kali pesan kat awak. Eh tiba-tiba laki (suami) kita pula kena bebel,” kongsinya lagi.
Terdahulu, selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, Intan mendirikan rumah tangga dengan penjawat awam, Mohd. Aizam Yahya pada 21 Disember 2021.
Perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak, manakala menerusi perkahwinan terdahulu dengan pemuzik, Ude Wahid pula diserikan dua putera.
Intan yang bercerai dengan Ude pada 2018, sempat bermadu dengan pelakon, Izreen Azminda.
Ketika Intan sedang berdepan kemelut dalam rumah tangganya, Puteri Sarah antara rakan artis yang turut memberikan sokongan moral untuk berdepan dugaan tersebut. – KOSMO! ONLINE