PETALING JAYA – Selebriti media sosial, Fynn Jamal mengakui dirinya rela hidup bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam soal pakaian demi mengejar reda Allah SWT.
Justeru, Fynn yang pernah popular dengan lagu Arjuna Beta pada masa sama mengambil kesempatan menasihati orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan fesyen yang berlebihan.
Menerusi video motivasi yang tular dalam TikTok, Fynn berkongsi satu hadis Rasulullah SAW yang menyentuhn tentang pemakaian.
“Dalam satu hadis Rasulullah SAW, Baginda bersabda, untuk sesiapa yang memilih berpakaian sederhana dan biasa-biasa sedangkan dia mampu, di akhirat nanti ketika dibangkitkan di depan semua orang, Allah akan sebut nama dia.
“Dia datang ke depan dan Allah akan cakap, Nur Affina Yanti binti Jamalludin (dirinya), pilihlah engkau pakaian mana-mana yang kau suka dan tolak di atas dunia suatu masa dahulu.
“Jadi jika anda tanya, adakah saya kisah dengan kehidupan sederhana saya? Tidak! Kerana saya ada janji dengan Allah. Jika Allah mahukan saya insya-Allah di akhirat kelak,” kata Fynn.
Perkongsian tersebut mengundang respons daripada pengguna TikTok yang menzahirkan rasa sebak dan kagum melihat kecekalan Fynn untuk terus istiqamah mencari reda Allah.
“Hebat Fynn. Sungguh indah jika seseorang itu merasai nikmat menutup aurat dan mengabdikan diri kepada Allah, saya kagum,” komen seorang netizen.
“Saya automatik jatuh air mata, bukan mudah untuk istiqamah kerana kita manusia, iman juga turun dan naik. Teruskan Fynn, anda inspirasi wanita,” tulis netizen yang lain.
Bahkan, ada juga netizen yang berdoa agar mereka diberikan hidayah untuk sentiasa dekat dengan Allah.
“Subhanallah, semoga suatu hari nanti, Allah bagi kekuatan untuk saya istiqamah macam ini. Ya Allah, Kau pilih aku untuk pakai macam ini ya Allah,” luah pengguna media sosial.
Untuk rekod, penyanyi berusia 41 tahun itu telah berniqab sejak tahun 2016.
Terdahulu, Fynn pernah bersuara kerana berasa hairan apabila stesen televisyen masih memintanya untuk tidak memakai purdah. – KOSMO! ONLINE