REMBAU – Dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabit kemalangan di kilometer dua, Jalan Kundur-Pilin, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Muhammad Adib Roszaidi beralamat di Karak, Pahang dan Muhammad Aiman Roslee beralamat di Ipoh, Perak, masing-masing berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Sementara, seorang lagi pembonceng motosikal, Muhammad Faiz Ilham Abdul Jalal, 21, beralamat di Shah Alam, Selangor, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban serta dirawat di Zon Merah.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan membabitkan dua buah motosikal iaitu motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggangi oleh Muhammad Adib dan motosikal jenis Honda yang ditunggangi oleh Muhammad Aiman bersama seorang lagi pembonceng.
“Berdasarkan siasatan awal, mendapati mangsa Muhammad Adib menunggang dari arah Kundur menghala ke Pilin. Sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan, terbabas lalu langgar tiang TM menyebabkan tiang tersebut patah jatuh melintang atas laluan.
“Kemudian datang mangsa, motosikal yang ditunggangi Muhammad Aiman bersama pembonceng dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu hilang kawalan terbabas di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Ujar Hazri lagi, akibat daripada kemalangan ini, kedua-dua penunggang yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dalaman telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat kedua-duanya telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.
“Manakala pembonceng yang mengalami kecederaan parah dibawa menerima rawatan lanjut di Zon Merah, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE