fbpx

Lawatan Anwar bakal teroka peluang pelaburan di Nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ILUSTRASI pemandangan Istana Presiden baharu yang akan dibina di ibu negara Indonesia baharu, Nusantara di Kalimantan Timur.

SEPANG – Malaysia dijangka terlibat aktif dalam pembangunan projek pembinaan Ibu Kota Negara (IKN) baharu Indonesia iaitu Nusantara yang bakal dibuka awal tahun depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir malah seperti memberikan bayangan awal kemungkinan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga bersedia untuk berpindah ke sana.

“Sebanyak 11 surat hasrat dari pelbagai firma Malaysia akan diserahkan kepada pihak berkuasa Nusantara bagi usahasama pembangunan IKN,” katanya pada sidang media di sini.

Sidang media itu diadakan bersempena lawatan rasmi julung kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia setelah dilantik menerajui kerajaan pada 24 November tahun lepas.

Awal tahun lalu, Kementerian Luar Indonesia mengedarkan nota diplomatik meminta agar semua kedutaan asing di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara dalam tempoh 10 tahun.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, sebanyak lapan memorandum persefahaman juga akan dimeterai ketika sesi kunjungan Anwar ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor.

“Sebahagian besarnya melibatkan kerjasama pembangunan IKN kerana dijangka kesan pembukaan Nusantara memberi limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, beliau membayangkan pelaburan Malaysia kelak bakal memfokuskan kepada Borneo setelah IKN baharu Indonesia itu beroperasi sepenuhnya dalam masa sedekad nanti.

Lawatan Anwar ke republik itu juga difahamkan akan membincangkan strategi bersama bagi melawan kempen anti minyak sawit Malaysia dan Indonesia di pasaran Kesatuan Eropah ketika ini.

Perdana Menteri yang dijemput Joko bagi melawat negara itu akan turut berdiskusi berhubung isu sempadan darat dan maritim selain masalah pengambilan pembantu rumah Indonesia.

“Beliau juga akan berbincang mengenai status Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 serta menyampaikan syarahan umum dan bertemu rakyat Malaysia di Jakarta,” katanya.

Kedudukan republik itu dianggap amat penting bukan sahaja sebagai negara terbesar dan paling ramai penduduk di rantau Asia Tenggara malah antara gergasi ekonomi sejagat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI