KUANTAN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Cherating, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, dikatakan pergi ke lokasi kejadian untuk berkelah bersama 19 rakannya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian dari orang awam dan sepasukan anggota Polis dari Balai Cherating telah ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya datang ke pantai Cherating pada sekitar pukul 1.30 petang tadi.
“Menurut rakan mangsa, semasa mereka membuat permainan bulatan didalam air, tiba-tiba ombak tinggi membadai kumpulan mereka dan semua berpecah.
“Mangsa dikatakan telah ditarik ketengah ke tempat lebih dalam,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, menurut rakan mangsa, sebaik dipukul ombak besar, kesemua mereka masing-masing bertindak menyelamatkan diri.
“Selepas itu kelihatan rakan mangsa memberitahu melihat mangsa dalam keadaan panik sebelum hilang dari pandangan.
“Mereka kemudian mendapatkan bantuan orang sekeliling dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkaya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan pencarian dari pantai. – KOSMO! ONLINE