fbpx

Fayadh sedia buktikan kemampuan kepada Nafuzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAYADH mengakui tidak sabar untuk menuntut ilmu daripada jurulatih baharu, Mohd. Nafuzi yang bergelar jurulatih terbaik ABK 2022.

MELIHAT kepada kepantasan, kelicikan dan kemampuan menjaringkan gol, pemain lincah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Muhammad Fayadh Zulkifli dilihat memiliki potensi untuk di­didik menjadi sehebat tonggak kebangsaan.

Kalangan pemerhati bola sepak tanah air beranggapan Muhammad Fayadh mempunyai kelebihan itu untuk dididik jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain menjadi sehebat tonggak kebangsaan, Faisal Halim.

Sedar akan harapan menggunung penyokong terhadapnya, Muhammad Fayadh yang dilihat memiliki saiz badan dan ketinggian hampir sama dengan Faisal tidak mahu terbuai atau leka dengan pandangan pihak lain terhadapnya.

Mengakui tidak sabar untuk terus menuntut ilmu dengan Mohd. Nafuzi yang bergelar jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, pemain terbabit berazam untuk terus meningkatkan kemampuan diri dan mencapai tahap terbaik sebagai seorang pemain bola sepak.

“Sejak tahun lepas apabila terdengar khabar Mohd. Nafuzi bakal mengemudi KDA FC, saya sudah rasa teruja untuk membuktikan kemampuan diri.

“Kini apabila beliau sudah tiba di sini, saya mahu terus tunjukkan lagi kemampuan diri agar beliau memberi kepercayaan untuk meletakkan saya dalam barisan kesebelasan utama,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam sesi latihan di Alor Setar kelmarin.

Katanya, cakap-cakap menyatakan beliau mahu menjadikannya seperti Faisal Halim berkemungkinan betul tetapi dia berazam untuk mencipta kelainan berbanding orang lain.

“Kalau boleh, saya nak jadi lebih baik dan untuk itu banyak yang perlu saya lakukan dan pelajari ketika ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fayadh berkata, rata-rata pemain termasuk yang baru menyertai skuad berkenaan dilihat sudah bersedia menerapkan gaya permainan digemari Mohd. Nafuzi yang jelas tidak bergantung kepada permainan bersifat ‘long ball’.

“Dalam pasukan ini semuanya sama saja tanpa ada yang ber­puak-puak. Di sini tak ada siapa pun yang bergelar bintang atau dianggap ‘besar’ dalam pasukan dan disebabkan itu, saya fikir keserasian akan mudah dibentuk antara pemain lama dan baharu.

“Menjelang pembukaan musim baharu ini, saya harap kalangan penyokong dapat terus memberi sokongan kepada kami. Saya berharap lebih penyokong Hijau Kuning akan hadir ke stadium musim ini dan lihat sendiri perubahan yang akan dibawakan Mohd. Nafuzi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI