fbpx

‘Kami panik, lupa jerit minta tolong hanya ingat mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURFARISYA menunjukkan jeriji tingkap yang dipotong anggota bomba bagi membantu mengeluarkan dia dan ibunya dalam kebakaran di Bandar Universiti, Seri Iskandar semalam.

PARIT – “Kami panik dan tidak dapat berfikir apa-apa ketika kebakaran itu berlaku sehingga terlupa untuk menjerit meminta tolong daripada jiran-jiran.”

Demikian situasi dialami Nurfarisya Ilyanie Mohamad Sofuan Zawawi, 17, dan ibunya, Zurina Khalid, 50, dua mangsa yang terlibat dalam kebakaran di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini semalam.

Cerita Nurfarisya, kejadian tersebut disedari ibunya, Zurina selepas terhidu bau hangit kira-kira pukul 2 pagi dan mendapati terdapat api di ruang tamu kediaman mereka.

“Ibu kemudian menutup pintu dan mengejutkan saya. Kami terus membuka tingkap sebelum menghubungi talian 999,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad.

KEADAAN kebakaran di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar di Parit semalam.

Nurfarisya berkata, pasukan penyelamat membantu mengeluarkan mereka dari bilik ber­kenaan menerusi tingkap.

“Saya memang ingat akan mati dalam kejadian ini. Ibu menenangkan saya dan kami membaca surah-surah yang diingati.

“Dalam keadaan panik itu, kami terlupa untuk menjerit meminta bantuan daripada jiran-jiran. Mereka hanya me­nyedari sesuatu telah berlaku apabila bomba tiba di rumah untuk memberikan bantuan,” katanya.

Ujarnya, pada malam sebelum kejadian, dia yang merupakan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar terdengar bunyi di suis utama rumah tersebut dan mengesyaki litar pintas adalah punca kebakaran tersebut.

Menurutnya, mereka berdua tidak mengalami kecederaan, namun ibunya dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi pemantuan, dengan dirinya sendiri demam akibat terkejut dengan insiden tersebut.

“Dalam kebakaran ini, ruang tamu dan sebahagian daripada dapur musnah termasuklah barangan seperti televisyen, sofa dan kipas,” katanya yang tinggal berdua ketika kejadian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI