fbpx

Tiada cinta, wanita dalam fikiran Redza Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REDZA mahu memanfaatkan usianya dengan berbakti kepada keluarga selain memperbaiki diri sendiri. – AFIQ RAZALI

NAMA pelakon Redza Rosli memang boleh dianggap bersih daripada terpalit dengan sebarang kontroversi tidak enak baik tentang kisah cinta sehinggalah membabitkan kerjaya seni lakonannya.

Jika ada pun, sekadar gosip-gosip ‘manja’ yang mengaitkan dirinya dengan pasangan heroin dalam drama yang dia lakonkan.

Redza ketika ditemui Pose baru-baru ini mengakui dia memang mengelak untuk mencipta sebarang kontroversi selain enggan menimbulkan masalah dengan mana-mana pihak.

Kata pelakon berusia 31 tahun itu, jika namanya tiba-tiba terpalit dengan sebarang cerita panas, dia tenang melalui semuanya.

“Kenapa saya jarang dihimpit kontroversi? Mungkin sebab saya tak ada buat hal dengan sesiapa. Saya senang dengan semua orang.

“Kalau ada pun (kontroversi), saya akan laluinya dengan tenang,” ujar Redza.

Sewaktu diusik tentang status dirinya sama ada kini sudah berpunya atau belum, Redza berkata, dia masih lagi solo dan tidak mempunyai teman wanita buat masa ini.

Bagaimanapun, pelakon drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu tidak pernah menolak kehadiran mana-mana wanita untuk hadir dalam hidupnya kerana menganggap mereka juga sebagai rezeki.

KATA Redza,’rahsia’ dirinya bersih daripada kontroversi kerana dia sentiasa senang dengan semua orang.

“Kita jangan mendahului Allah SWT. Dengan siapa saya akan berkahwin, siapa jodoh ditentukan, saya ikut sahaja takdir Tuhan. Bila sudah bersedia, saya akan umumkan nanti.

“Tapi sejujurnya buat masa sekarang saya masih lagi solo. Saya tidak pernah halang sesiapa untuk datang dalam hidup saya kerana mereka juga rezeki.

“Jumpa jodoh yang baik juga rezeki. Cuma buat masa sekarang saya tidak fikir soal perempuan, cinta atau apa sahaja selain kerjaya dan juga keluarga,” kata Redza.

Tambah aktor itu lagi, dia mahu memanfaatkan usia dan waktu yang ada untuk berbakti kepada keluarga selain berazam memperbaiki dirinya.

“Masa yang ada tak lama. Apa-apa pun saya mahu utamakan keluarga dan memperbaiki diri sendiri.

“Tahun 2023, saya mahu jadi orang baharu yang mencipta pengalaman lebih baik. Saya tidak menyasarkan apa-apa impian sebab saya yakin dengan perancangan Allah. Saya sahut dengan ikhlas asalkan semuanya perkara yang baik dan halal,” ucapnya penuh makna.

Akan datang, Redza akan menjalani penggambaran sebuah drama untuk tayangan slot Akasia di TV3 yang ditayangkan pada bulan Ramadan kelak.

“Alhamdulillah rezeki tak pernah putus. Mungkin sebab saya jadi diri sendiri. Maka rezeki itu tidak ke mana,” katanya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI