PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis ramalan banjir kilat yang dijangka melanda enam negeri melibatkan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
JPS dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan maklumat ramalan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Falsh Flood Guidance System (SAOFGGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia mengesahkan terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.
Menurut kenyataan itu, di Johor melibatkan Kota Tinggi, Mersing, Muar dan Tangkak serta dua daerah di Melaka iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Ramalan banjir kilat itu juga dijangka tertumpu sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Bagi negeri Perak pula, melibatkan daerah Batang Padang, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kerian.
“Keadaan sama juga berisiko berlaku di Selangor (Sepang, Petaling dan Kuala Selangor) serta seluruh Kuala Lumpur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE