KUALA LUMPUR – Pelakon Catriona Ross menegur sikap segelintir penjual online yang gemar menggunakan gambar artis sesuka hati tanpa kebenaran untuk melariskan jualan produk jualan masing-masing.
Menerusi satu hantaran dalam Instagramnya, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu meluahkan perasaan tidak puas hati dek sikap tidak bertanggungjawab yang diamalkan sesetengah peniaga online.
“Peniaga online jangan berniaga tanpa iman dan rasa jujur. Jangan guna gambar artis atau foto saya untuk melariskan jualan produk.
“Kalau mahu guna foto, hubungi saya atau pengurus dan bincang. Beri bayaran, baru guna foto. Peniaga online kecil-kecilan perlu bijak. Sekarang sudah 2020. Jujurlah dengan diri sendiri untuk mencari rezeki,” tulisnya.
Sementara itu, Catriona, 40, juga mendedahkan dia sudah pun menegur tindakan penjual berkenaan selain turut meminta bayaran daripada mereka kerana menggunakan gambarnya.
“Saya sudah tegur mereka dan minta bayaran sekali,” tulisnya bagi menjawab komen pengguna yang menasihatkan dia menegur penjual berkenaan. – K! ONLINE