BRIDGEND,Wales – Bapa kepada penyanyi tersohor Adele, membuat laporan polis berkenaan jirannya yang kerap memasang lagu anaknya, minggu lalu.
Mark Evans, 56, bapa kandung penyanyi lagu Someone Like You itu membuat aduan bahawa rantaian lagu Adele yang dipasang oleh Keeley Fry, 21, terlalu kuat dan mengganggu ketenangannya, lapor The Sun.
Fry berpindah ke rumah bersebelahan Evans dan isterinya dua tahun lalu di Bridgend, selatan Wales.
Tidak lama selepas berpindah, Evans memberi amaran kepada gadis itu supaya berhenti memainkan lagu atau menyanyikan lagu milik Adele.
“Saya peminat tegar Adele dan kawan-kawan memberitahu saya memiliki suara seperti dia.
“Apabila berada di rumah, saya akan memainkan lagu-lagunya tetapi tidaklah sekuat seperti yang dilaporkan Evans,”kata Fry dalam satu kenyataan.
Fry yang mengetahui jirannya adalah bapa kandung Adele terkejut lelaki itu tidak suka mendengar lagu anaknya sendiri.
Polis South Wales dalam satu kenyataan mengesahkan menerima aduan daripada individu di kawasan kejiranan itu berkenaan suasana bising yang mengganggu ketenteraman.
“Polis akan membuat rundingan damai untuk menyelesaikan isu ini,”kata kenyataan itu lagi.
Evans dan Adele tidak mempunyai hubungan baik apabila lelaki itu meninggalkan Adele bersama ibunya ketika dia berusia dua tahun.- Agensi