fbpx

JDT pilih jurulatih dari Argentina kemudi Harimau Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ESTEBAN SOLARI (kiri) diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan musim ini dan diperkenalkan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di sini hari ini. FOTO/ RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Ketua Jurulatih baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tumpang gembira atas kejayaan pasukan Argentina memenangi Piala Dunia buat kali ketiga bulan lalu.

Lebih membanggakan buat dirinya apabila melihat pemain muda yang pernah dibimbingnya ketika bersama skuad muda kebangsaan menjadi watak penting La Albiceleste menamatkan badi 36 tahun untuk bergelar juara dunia.

Solari berkata, pemain yang dimaksudkan itu ialah Julian Alvarez, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister, Cristian Romero, Lisandro Martinez dan Lautaro Martinez.

Bekas pemain kebangsaan Argentina itu berkata, beliau menghabiskan masa selama lima tahun bersama skuad bawah 19, 20 dan 23 tahun Argentina yang menjadi platform pemain muda itu mengasah bakat sebelum bergelar pemain ternama dunia yang menjadi bualan ramai.

“Sebagai individu yang terlibat dengan pembangunan pemain muda ini, saya turut tumpang bangga di atas pencapaian mereka bersama skuad kebangsaan yang bergelar juara Piala Dunia.

“Pemain ini menunjukkan kematangan dalam persembahan sekali gus menjadi watak penting buat kejayaan skuad kebangsaan. Perkara ini yang saya mahu terapkan di sini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT, di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Solari diperkenalkan sebagai ketua jurulatih baharu JDT oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.

Solari menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Harimau Selatan dengan pilihan untuk dilanjutkan kontrak pada tahun berikutnya.

Solari akui terpukau dengan kemegahan pasukan JDT yang dilengkapi dengan fasiliti serba canggih dan berteknologi tinggi yang jauh kehadapan berbanding pasukan lain di rantau ini.

Katanya, dia mengetahui serba sedikit mengenai JDT menerusi rakannya, Pablo Aimar yang pernah menyarung jersi JDT pada musim 2013 dan 2014.

“Aimar banyak berkongsi perkara yang hebat tentang JDT, saya tidak menyangka ia sudah berkembang pesat sehingga menjadi pasukan yang hebat.

“Saya teruja untuk bersama JDT dan memulakan tugas sebagai pengendali baharu pasukan seterusnya membawa pasukan ke satu tahap yang lebih baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI