SERI ISKANDAR – Seorang ibu dan anak perempuannya berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari kediaman mereka yang terbakar di Bandar Universiti di sini kira-kira pukul 2.04 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah kelas A yang mana 30 peratus daripadanya musnah dalam insiden berkenaan.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong jeriji tingkap dan mangsa dikeluarkan melaluinya.
“Tiada kecederaan yang dialami oleh kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan satu hos aliran 30 meter dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera sepenuhnya.
Ujarnya, operasi diketuai Penolong Penguatkuasa Bomba Muhamad Ashraf Mat Isa tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 4.15 pagi. – KOSMO! ONLINE