DALAM usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19, kerajaan mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu bermula 14 Oktober lalu.
Tidak dinafikan, keputusan tersebut dilihat amat perlu berdasarkan peningkatan mendadak kes-kes positif di tiga kawasan berkenaan setiap hari.
Seperti kita semua sedia maklum, apabila PKPB dikuatkuasakan, maka beberapa sektor, terutamanya ekonomi, pendidikan dan sukan akan terjejas.
Semasa kita semua berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti-aktiviti sukan termasuk pertandingan berprestij seperti Liga Malaysia (Liga M), Liga Sepak Takraw (STL) dapat dijalankan.
Bagaimanapun, sebaik kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB, maka semua pertandingan terpaksa ditangguhkan termasuk saingan Piala Malaysia yang dijadual pada 25 Oktober.
Bukan sahaja kejohanan-kejohanan sukan, malah sesi latihan juga tidak boleh dijalankan, sekali gus memaksa setiap pasukan dan atlet mencari jalan alternatif dalam usaha mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.
Harus diakui, bukan mudah untuk seseorang atlet mengekalkan tahap kecergasan serta fizikal sekiranya hanya berkurung di rumah untuk tempoh yang lama.
Pemain tengah pasukan Liga Super Selangor, Sandro Da Silva tanpa berselindung mengakui pelaksanaan PKPB memberi kesan kepada persiapan setiap pasukan, terutamanya Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Piala Malaysia.
Lebih mengecewakan, pemain dari Brazil itu berkata, Selangor berada pada prestasi terbaik sebelum PKPB dilaksanakan dan rentak itu mungkin terjejas sebaik sahaja PKPB berakhir nanti.
“Sudah tentu pelaksanaan PKPB memberi kesan kepada persiapan semua pasukan menjelang Piala Malaysia terutamanya Selangor yang menjadi lokasi PKPB dilaksanakan.
“Dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini, kami berada pada prestasi terbaik serta mempersembahkan corak permainan yang menghiburkan. Sekarang kami terpaksa berehat kerana PKPB.
“Apa yang pasti, kami tidak boleh jalani latihan intensiti tinggi seperti biasa dan ia sangat sukar untuk kekalkan tahap kecergasan. Saya perlu kawal pemakanan dan rehat selain melakukan senaman,” ujar Sandro.
Selain pasukan bola sepak, skuad hoki kebangsaan turut menerima tamparan hebat apabila tidak dapat menjalani latihan, terutamanya skuad projek khas lelaki yang sedang melakukan persiapan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh Januari depan.
Sebelum pelaksanaan PKPB, skuad kendalian Wallace Tan itu sedang menjalani latihan pusat bagi memilih 25 pemain terbaik untuk menggalas misi negara ke kejohanan tersebut yang turut dijadikan sebagai aksi kelayakan ke Piala Dunia Remaja.
Wallace mengakui, skuad bimbingannya berdepan kesukaran untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan penting itu, justeru memaksa mereka mencari jalan lain bagi mengikuti sesi latihan.
“Sekiranya kita tidak dapat menjalani latihan di atas padang, sudah tentu ia akan mengganggu persiapan, namun amat penting untuk ikut arahan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Kita amat perlukan masa untuk menjalani latihan kerana sebahagian besarnya adalah pemain muda yang kurang berpengalaman,” kata beliau.