fbpx

Gadai nyawa guna titi kayu balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Miak meniti kayu balak dan mengharungi sungai selepas jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan runtuh dua minggu lalu di Gua Musang.

GUA MUSANG – Kira-kira 129 penduduk Kampung Miak di sini terpaksa bergadai nyawa de­ngan meniti di kayu balak untuk mengharungi sungai setelah jambatan kampung runtuh dua minggu lalu.

Dalam kejadian 21 Disember lalu itu, jambatan balak berusia lebih 50 tahun yang merentasi Sungai Depok dihanyutkan arus deras kepala air ketika kejadian hujan lebat.

Seorang penduduk, Tg. Usri Tg. Hamzah, 55, berkata, selepas jambatan kayu balak runtuh, aktiviti harian penduduk semuanya menjadi susah.

Jelasnya, dia bersama penduduk kampung terpaksa membina titi sementara menggunakan pokok balak itu.

“Selepas jambatan runtuh, penduduk Kampung Miak sukar untuk keluar dan perlu bantuan daripada penduduk Kampung Laloh, Kuala Krai untuk membantu kami ke seberang.

“Anak penduduk yang mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Jasa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh pada 30 Disember lalu terpaksa meniti titi balak itu kerana paras air Sungai Depok meningkat sebelum penduduk Kampung Laloh membawa mereka ke asrama menggunakan kenderaan lain,” katanya.

Tg. Usri menambah, jambatan berkenaan dibina sejak tahun 70-an sudah tiga kali runtuh sebelum dibaik pulih semula oleh penduduk dan syarikat pembalakan.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Hasan, 56, pula berkata, jambatan balak itu merupakan nadi perhubungan penduduk untuk ke bandar Gua Musang atau Kuala Krai.

Katanya, urusan penduduk untuk mengeluarkan hasil getah, petai dan tanaman buah-buahan untuk jualan ketika ini tertangguh selepas jambatan runtuh.

“Kami berharap syarikat pembalakan dapat membaik pulih secepat mungkin jambatan itu. Selain itu, kita juga berharap pihak kerajaan dapat membina jambatan besi atau laluan alternatif khas untuk laluan penduduk kampung sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang, Ab. Pattah Hasbullah berkata, pihaknya me­nyalurkan bantuan bungkusan makanan asas dan wang ringgit kepada 40 Ketua Isi Rumah bagi meringankan beban penduduk kampung yang terlibat.

Katanya, jarak Kampung Miak ke bandar Gua Musang adalah sejauh 110 kilometer.

“Perkara itu akan diatasi tidak lama lagi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI