ISU mengenai tahap kebersihan pengusaha termasuk cara pengendalian makanan menjijikkan bukan satu masalah baharu.
Baru-baru ini sebuah premis roti canai popular di George Town diarah ditutup selama 14 hari selepas video memaparkan seorang pekerja mengendalikan telur tanpa dibasuh tular dalam media sosial.
Malah, pihak berkuasa turut mendapati ada beberapa biji telur ayam masih terlekat najis pada bahagian kulitnya.
Kisah tular itu mengimbau penulis mengenai peristiwa yang menggemparkan negara pada 2020 apabila berlaku kejadian keracunan makanan di Terengganu melibatkan 99 mangsa.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa maut dan puncanya apabila mereka memakan puding buih yang dibeli secara online. Ujian makmal mendapati telur tercemar menjadi punca keracunan makanan itu.
Sebenarnya ramai pengguna tidak peka tentang aspek kebersihan seperti membasuh kulit telur. Walaupun nampak kecil, namun hakikatnya, telur yang dicemari bakteria boleh mengundang masalah kesihatan termasuk maut.
Pensyarah Kanan Program Sains Pemakanan, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia cawangan Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Hasnah Haron berkata, kulit telur tercemar juga boleh menjadi punca keracunan makanan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.
“Bahagian luar kulit telur terdapat najis mengandungi bakteria yang boleh mencemari makanan melalui tangan atau peralatan yang telah menyentuh kulit telur tersebut.
“Ia boleh menyebabkan mereka yang memakan makanan tercemar mengalami keracunan makanan. Oleh itu, kulit telur perlu dicuci supaya bebas daripada sebarang najis.
“Selain itu, tangan yang menyentuh kulit telur juga perlu dicuci dengan sempurna,” ujarnya.
Menurut Hasnah, kulit telur ayam yang dicemari najis haiwan mempunyai bakteria Salmonella yang sangat berbahaya kepada manusia.
“Kebanyakan kes keracunan makanan yang dikaitkan dengan telur adalah berpunca daripada salmonella yang menyebabkan jangkitan pada sistem penghadaman dikenali Salmonellosis.
“Seseorang yang menghidap Salmonellosis akan mengalami sakit atau kekejangan perut, cirit birit, loya, muntah, demam panas selepas 12 hingga 72 jam mendapat jangkitan.
“Dalam kes-kes tertentu (terutamanya warga emas dan kanak-kanak) ia boleh mengakibatkan dehidrasi teruk sehingga mengancam nyawa,” jelasnya.
Justeru masyarakat terutama pengendali makanan perlu lebih peka dengan kebersihan berdasarkan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang mewajibkan pengendali untuk menjalani latihan pengendalian makanan.
“Melalui kursus ini pengendali diajar dan ditekankan cara membasuh tangan dengan teknik betul sebelum mengendalikan makanan atau keluar dari tandas.
“Selain itu, amalkan kebersihan diri dengan memakai pakaian, apron dan penutup kepala yang bersih adalah penting untuk mengelakkan sebarang pencemaran pada makanan.
“Pengendali makanan juga perlu mempraktikkan segala yang diajar dalam kursus pengendali makanan dan perlu menghadiri kursus tersebut sebagai kursus ulang kaji agar sentiasa patuh akan langkah-langkah yang betul dalam tatacara pengendalian makanan.