Permulaan 2023 digemparkan dengan gelombang baharu Covid-19 yang melanda China melibatkan subvarian omicron, XBB.1.5 yang dikatakan ‘mengganas’ ketika ini.
Selain tanah besar dengan populasi 1.4 bilion orang itu, XBB.1.5 dilaporkan dikesan di lebih 29 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ia juga dilaporkan menular begitu pantas di timur laut Amerika Syarikat.
Kontroversi tercetus akibat tindakan di luar jangkaan pemerintah China yang memansuhkan dasar sekatan ketat Covid-19 secara mendadak selepas penguatkuasaan selama hampir tiga tahun sejak 2020.
Ia termasuk membatalkan perintah berkurung besar-besaran dan ujian saringan massa yang sebelum ini dilakukan setiap hari di lokasi jangkitan di seluruh China, di samping pembukaan semula pintu sempadan.
Barat sebelum ini tidak berhenti mengkritik China kerana pelaksanaan dasar sifar Covid-19 yang kata mereka, langsung tidak berperikemanusiaan. Selepas Beijing tarik balik dasar itu, China masih terus menjadi sasaran, malah kali ini mendapat penyertaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Media Barat termasuk CNN melaporkan hampir 250 juta orang di China dipercayai dijangkiti Covid-19 dalam 20 hari pada Disember lalu, manakala awal bulan ini, lebih 70 peratus daripada lebih 28 juta populasi hab kewangan Shanghai dilaporkan dijangkiti virus itu.
Menurut Bloomberg News dan Financial Times, anggaran itu adalah daripada pegawai kanan kesihatan China. Sedangkan kenyataan rasmi pula merekodkan cuma 22 kematian Covid-19 sejak Disember lalu.
Malah, Beijing menyelar WHO yang menuduh China tidak telus berkongsi statistik Covid-19 khususnya kematian. Penularan meluas di China sememangnya sudah dijangka selepas menarik balik dasar sifar Covid-19, manakala vaksin buatannya dikatakan tidak berkesan seperti pelalian Barat, Pfizer dan moderna.
China tidak boleh disalahkan sepenuhnya berhubung letusan Covid-19 yang berlaku. Tindakan di luar jangkaan Beijing memansuhkan sekatan ketat walaupun mengundang kontroversi, boleh dilihat sebagai langkah untuk selamatkan ekonomi dan memadamkan kemarahan rakyat.
WHO juga tidak menyatakan secara satu persatu langkah bersepadu yang perlu diambil ke arah pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa oleh negara-negara dunia.
Maklumat kes harian dan saringan juga sudah tidak lagi dikemas kini secara jitu yang dapat menggambarkan perkembangan jangkitan di seluruh dunia, menyebabkan penulis sangsi sama ada pandemik benar-benar sudah berakhir atau hanya sudah ‘ditutup’ di mata kerajaan seluruh dunia.
Perkembangan pembangunan vaksin koronavirus universal yang sebelum ini begitu diuar-uarkan juga kini senyap. Begitu juga saranan dos penggalak seterusnya.
WHO perlu lebih peka dalam ‘mengendalikan’ perkembangan Covid-19 dunia, bukan hanya menuding jari ke arah China seolah-olah apa sahaja yang dilakukan Beijing tidak kena pada mata mereka.
Hakikatnya dunia tidak lagi mampu berkurung akibat pandemik dan WHO perlu ‘memimpin langkah’ untuk meminimumkan penularan jangkitannya.