KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keadaan di Sabah adalah tenang dan tiada perubahan akan berlaku pada kerajaan negeri itu.
Menurutnya, beliau telah pun menghubungi beberapa pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Saya juga berbincang dengan Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP).
“Saya tidak fikir apa-apa perkembangan itu (perubahan kerajaan negeri),” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Semalam terdapat desas-desus berlaku cubaan menukar Hajiji Noor, gagal dan ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada Warisan dan BN.
Anwar berkata, beliau cuma dimaklumkan terdapat beberapa isu di Sabah dan telah meminta Ketua Menteri Sabah berbincang dengan baik dengan rakan-rakan di politik di negeri itu.
Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menjamu selera di Medan Ikan Bakar Tanglin sebelum menunaikan solat Jumaat.
Anwar yang tiba pukul 12.48 tengah hari ditemani Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menikmati empat jenis lauk iaitu ikan jenanak, pari, siakap dan sotong bakar.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah. – KOSMO! ONLINE