PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan aktiviti rekreasi memancing di kolam pancing Afprow 3, Templer Saujana Rawang, Selangor petang semalam.
Turut berangkat sama, paduka anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Istana negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, semasa aktiviti memancing tersebut, Seri Paduka Baginda berjaya menaikkan seekor ikan Siakap Merah dan Jenahak seberat 2.5 kilogram (seekor).
“Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pengunjung dan para pemancing di kolam tersebut.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersantap di sebuah restoran berdekatan bersama pengunjung restoran tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE