PETALING JAYA – Teguran penunggang motosikal terhadap pemandu kereta Myvi yang berhenti di tepi jalan dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas cetus rasa tidak puas hati pemandu itu.
Perkongsian dimuat naik oleh @isusemasaviral memaparkan tindakan pemandu Myvi putih yang tidak berpuas hati atas teguran diberi oleh penunggang motosikal lalu bertindak menggertak dan mengejarnya.
“Pemandu Myvi ditegur oleh penunggang motosikal yang memintanya jalan kerana tindakannya berhenti di tengah jalan raya telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Namun, pemandu itu tidak dapat menerima teguran tersebut lalu bertindak mengejar penunggang motosikal berkenaan.
“Hingga pada akhirnya, apabila penunggang itu turun daripada motosikalnya, pemandu tersebut terus memecut melarikan diri,” jelasnya menerusi ruangan kapsyen hantaran.
Sejurus dibuat semakan menggunakan nombor plat kenderaan tersebut, ternyata ia memiliki sembilan jumlah saman setakat semalam.
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pemandu Myvi yang disifatkan hanya menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Hantaran video beserta gambar tersebut telah meraih 15,800 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE
pemandu myvi kene tegur suruh jalan sebab jammed kt belakang tu je. dengan brother shopee food, pemandu myvi tak boleh terima kenyataan kejar rider tu. rider tu turun motor. pemandu myvi terus pecut lari. pic.twitter.com/NDYJOADBQu
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) January 5, 2023