fbpx

Rumah baharu mangsa kepala air Baling siap sebelum Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR bertarikh 2 Disember 2022 menunjukkan penduduk melintasi jambatan yang dipenuhi lumpur selepas dilanda arus deras di Kampung Padang Empang, Iboi, Baling.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri memberi jaminan rumah baharu penduduk Kupang, Baling, dekat sini yang terjejas akibat kepala air pada tahun lalu akan siap sepenuhnya sebelum Februari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau mengambil maklum tentang kelewatan pembinaan rumah tersebut yang sebelum ini dikatakan akan siap pada Disember tahun lalu.

“Belum dapat laporan (kelewatan) tetapi tak bolehlah sampai Februari. Saya akan panggil mereka datang bagi laporan dan sebelum Februari ini akan siap.

“Ada cara nak buat rumah, orang Indonesia buat (rumah) cepat,” katanya kepada pembe­rita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Amanat Menteri Besar Kepada Penjawat Awam di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.

Beliau mengulas tentang kelewatan pembinaan rumah di Desa Keda Kampung Sadek untuk 17 keluarga yang kehilangan kediaman masing-masing dalam insiden pada 4 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi pada Ogos tahun lalu merasmikan pecah tanah rumah mangsa yang di­jangka siap Disember lepas.

Mengulas lanjut, kata beliau, ekoran kelewatan tersebut kerajaan negeri akan melanjutkan bantuan sewa rumah kepada mangsa terlibat.

“Kita akan sambung (sewa rumah). Saya akan bincang de­ngan pegawai daerah Baling. Dahulu sasar bulan 12 siap, jadi kita bayar sewa pun sampai bulan 12 saja. Ini sudah bulan satu pun tak siap lagi. Boleh!

Kita bantu untuk sambung bayar sewa,” tambahnya.

Kosmo! pada 31 Disember lalu melaporkan, harapan mangsa kepala air di Kampung Iboi, Kupang di Baling untuk memasuki rumah baharu seperti dijanjikan kerajaan negeri masih belum menjadi kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI