Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
TERENGGANU FC (TFC) berhasrat untuk menaturalisasikan pemain pertahanan importnya, Argzim Redzovic bagi membolehkan beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, proses perbincangan awal bagi mendapatkan status kerakyatan Malaysia untuk Redzovic, 30, telah dilakukan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.
“Redzovic sudah layak untuk memohon warganegara berikutan menetap di negara ini selama lima tahun serta berkahwin dan berkeluarga dengan rakyat tempatan.
“Kami harap dia menerima kelebihan untuk diberikan taraf warganegara seterusnya didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Redzovic yang berasal dari Montenegro memulakan karier dalam Liga Malaysia bersama PDRM FC pada 2018 selama dua musim sebelum menyertai TFC pada penghujung tahun 2020.
Walaupun beraksi untuk skuad Liga Premier, Redzovic merupakan tonggak utama pasukan berstatus ‘feeder’ itu dan berjaya membantu TFC II menamatkan saingan liga di kedudukan keempat musim lalu.
Ab. Rasid berkata, pengurusan TFC akan mengikut prosedur ditetapkan yang mungkin akan mengambil sedikit masa.
Sementara itu, beliau mengakui dua lagi awang import TFC II, Luke Woodland dan Jordan Mintah yang masih lagi bersama skuad tiada dalam perancangan pasukan.
“Beberapa kelab dalam dan luar negara telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat dua pemain itu secara pinjaman bagi musim depan.
“Tawaran pinjaman terhadap mereka yang masih berbaki kontrak setahun berkenaan masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Selain Redzovic, Mintah dan Woodland, TFC turut dibarisi Sardor Qulmatov, Habib Haroon, Sony Norde serta Adisak Kraisorn selain seorang lagi penyerang Croatia yang dijangka tiba tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE