fbpx

The Sound of Music ceriakan Istana Budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAKONAN Jill - Christine Wiley mengingatkan penonton terhadap lakonan Julie Andrews dalam versi asal naskhah berkenaan.

TERPUKAU. Itu gambaran peribadi bahkan tidak keterlaluan perasaan sama dikongsi semua penonton yang menghabiskan sekitar dua jam menyaksikan pementasan muzikal bertaraf dunia, The Sound of Music yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.

Muzikal The Sound of Music berlangsung bermula 28 Disember hingga 15 Januari ini sebenarnya sebuah ubat rindu buat pencinta muzikal tanah air yang lama kehausan pementasan muzikal berskala sedemikian, apatah lagi judulnya The Sound of Music.
The Sound of Music merupakan naskhah popular dunia berkisarkan Maria, seorang pengasuh penyayang yang mengubah kehidupan Kapten von Trapp dan tujuh orang anaknya menerusi muzik.

Dibawakan oleh Broadway International Group dan diproduksikan oleh Base Entertainment Asia, pementasan The Sound of Music sebenarnya dinanti-nantikan ramai apabila meraih jualan memberangsangkan setiap malam persembahan.

SERAMAI 17 kanak-kanak berbakat tempatan berpeluang beraksi dalam muzikal The Sound of Music arahan Jack O’Brien.

Ketua Pegawai Eksekutif Base Entertainment Asia, Chantal Prud’home, berkata, pihaknya teruja menampilkan The Sound of Music sebagai pementasan muzikal pertama di Malaysia selepas pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Kami sangat teruja untuk mempersembahkan The Sound of Music sebagai muzik antarabangsa pertama di Malaysia sejak pandemik lalu. Semasa pandemik, panggung teater ditutup sepenuhnya dan tiada hiburan langsung di negara ini.

“Kisah seperti The Sound of Music yang menyuntik nilai ketabahan, kesabaran, kasih sayang dan kegembiraan merupakan hiburan yang diperlukan oleh semua orang selepas pandemik,” ujar Chantal.

Jelajah antarabangsa The Sound of Music diarahkan penerima tiga kali Tony Award yang juga veteran Broadway iaitu Jack O’Brien, manakala tarian pula dikoreografikan oleh Danny Mefford dan Andy Einhorn selaku pemantau muzik.

Chantal berharap lebih banyak lagi muzikal antarabangsa akan beraksi di Istana Budaya.

Menariknya, seramai 17 orang kanak-kanak berbakat tanah air antara yang terpilih melalui uji bakat pada Jun tururt memegang watak enam kanak-kanak dalam keluarga Von Trapp secara bergilir-gilir mengikut waktu pementasan.

Kesemua pelakon kanak-kanak tersebut dibahagikan kepada tiga set kumpulan yang terdiri daripada kumpulan Biru, Merah dan Hijau yang akan bergilir-gilir membawa watak sepanjang berlangsungnya pementasan.

Bercakap tentang keserasian pelakon utama dengan pelakon kanak-kanak yang bertukar-tukar setiap kali pementasan, Jill-Christine Wiley yang memegang watak Maria berkata, situasi tersebut satu pengalaman indah.

“Pengalaman yang indah dan sangat menarik untuk melihat setiap seorang daripada mereka melakonkan watak dengan cara tersendiri.

“Setiap kanak-kanak mempunyai karakter unik dan cara mereka sendiri untuk menjayakan watak tersebut,” kata Wiley

Untuk rekod, The Sound of Music yang dihasilkan oleh produksi Broadway original pada 1959 telah memenangi lima Tony Awards, termasuklah Muzikal Terbaik, yang menjadi kejayaan terbesar untuk Rodgers dan Hammerstein.

Bahkan, filem yang dihasilkan pada 1965 dibintangi Julie Andrews sebagai Maria pula memenangi lima Oscar, termasuk Visual Terbaik, kekal menjadi filem popular sepanjang zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI