Oleh ASLIZA MUSA
TAIPING – Dua remaja lelaki termasuk pelajar berusia 16 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’ ditahan polis di Jalan Ipoh-Butterworth di sini hari ini.
Kedua-dua remaja itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Taiping bermula pukul 11.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pelajar tersebut dan seorang lagi remaja berusia 18 tahun ditahan setelah dilihat melakukan aksi berbahaya itu.
Katanya, ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka yang ditangkap itu didapati negatif.
“Tindakan kedua-dua remaja itu mengangkat tayar hadapan semasa menunggang motosikal bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna jalan raya lain.
“Mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi tersebut, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
“Operasi yang berakhir pada pukul 5 pagi itu turut merekodkan 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membabitkan cermin sisi, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos,” katanya. -K! ONLINE