JEMPOL – Kakitangan di pejabat Felda Palong 14&15, di sini cemas apabila premis kerja mereka terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari tadi.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd. Hazreen Mohd. Zahar berkata, sepasukan anggota bomba dari Bandar Seri Jempol dikejarkan ke lokasi kejadian bersama satu jentera FRT dan satu LFRT.
Menurutnya, sebaik di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan sebuah pejabat dengan melibatkan sebuah bilik di situ.
“Difahamkan, ketika kejadian terdapat kira-kira enam kakitangan di pejabat berkenaan dan mereka terbau benda hangit daripada ‘distributor board’ elektrik.
“Kakitangan cuba memadamkan kebakaran tersebut menggunakan alat pemadam api, namun api semakin marak,” katanya hari ini.
Ujar Mohd. Hazreen lagi, pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran dan dianggarkan kebakaran bilik berkenaan sebanyak 60 peratus.
Menurutnya, tiada kakitangan yang cedera dalam kejadian tersebut, manakala punca serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE