fbpx

UPSI terima 113 pelajar baharu diploma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wahid (dua dari kiri) menemani anaknya, Muhammad Wazif semasa mendaftar di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim semalam.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kemasukan seramai 113 orang pelajar baharu diploma ambilan Januari 2023 bermula semalam.

Mereka yang mendaftar di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City semalam disambut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, mereka bakal dibentuk menjadi penuntut yang proaktif dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan UPSI sebagai universiti nombor satu bidang pendidikan.

“Mereka adalah ambilan pertama yang menjalani Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (Millenia) yang dahulunya dikenali sebagai Program Orentasi Pelajar (POP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, para pelajar itu akan mengikuti pengajian di tiga fakulti iaitu Fakulti Sains dan Matematik seramai 32 orang, Fakulti Pembangunan Manusia (44 orang) serta Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (37 orang).

Katanya, UPSI sentiasa mengalu-alukan pelajar yang cemerlang dalam aspek akademik, sukan, sahsiah, adab dan akhlak untuk menyambung pengajian di universiti bersejarah itu.

Dalam pada itu, katanya, anak pelawak, Wahid Senario, Muhammad Wazif, 19, yang aktif dalam bidang sukan turut memilih UPSI sebagai destinasi pengajian melanjutkan pengajian Diploma Sains Sukan.

Sementara itu, Norkhalid berkata, UPSI sentiasa berusaha untuk memastikan pelajar baharu diploma merasai keselesaan dalam menimba ilmu di universiti pendidikan tersohor itu.

“Kami menyediakan persekitaran bilik kuliah serba digital, perkhidmatan bas efisien, kemudahan kolej serba baharu, kafetaria mesra pelajar, tempat riadah dan rekreasi bertaraf antarabangsa serta lain-lain kemudahan yang disediakan.

“Diharapkan kemudahan yang disediakan itu dapat memberi semangat untuk pelajar baharu menimba ilmu sekali gus berbangga menjadi Anak Kandung Suluh Budiman,” katanya.

Pelajar baharu itu mengikuti Program Millenia bermula 4 sehingga 6 Januari di Panggung Percubaan UPSI dengan pengisian slot yang bermanfaat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI