fbpx

Mahkamah: Batal lesen, 2 pemilik kelab kontroversi Crackhouse fail kebenaran semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelab komedi Crackhouse.

KUALA LUMPUR – Dua pemilik kelab komedi kontroversi Crackhouse, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen perniagaan kelab itu dan tidak membenarkan mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota, selama-lamanya.

Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R.Santhiram selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 24 November lalu.

Mereka menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, kedua-dua pemohon memohon deklarasi bahawa keputusan dibuat DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur itu untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi tersebut bertentangan dengan undang-undang.

Pemohon juga memohon deklarasi keputusan oleh Jalaluddin dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk melarang mereka mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya walaupun di bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, peguam M. Pravin, yang mewakili kedua-dua pemohon ketika dihubungi mengesahkan pemfailan permohonan tersebut.

“Tarikh 26 Januari ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh,” kata peguam tersebut.

Pada 17 Ogos tahun lalu, Kosmo! melaporkan pemilik Crackhouse Comedy Club telah disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu kota.

Jawatankuasa Perlesenan DBKL bermesyuarat pada 29 Julai tahun lalu dan bersetuju untuk membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuatkuasa 30 Julai tahun yang sama.

Dalam pada itu, ketika sebutan semula kes Mohamad Rizal di Mahkamah Sesyen di sini, Hakim Nor Hasniah Ab Razak menetapkan 20 Januari ini bagi keputusan representasi dikemukakan untuk menggugurkan tiga pertuduhan.

Nor Hasniah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Mawan memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa keputusan representasi itu, yang difailkan pada 12 Disember tahun lepas, masih belum diperoleh pihak pendakwaan.

Mengikut tiga pertuduhan itu, Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI