fbpx

“Kompaun ekoran mereka bertiga, bukan hanya berdua dalam kereta”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA individu yang dikenakan kompaun kerana ingkar SOP PKPB ketika berada di dalam sebuah kenderaan. FOTO IHSAN IPD PENAMPANG

Oleh IVAN AMIRUL

PENAMPANG – Polis daerah ini menafikan mengeluarkan kompaun ke atas dua individu berada di dalam sebuah kenderaan sewaktu melaksanakan sekatan kalan raya (SJR) di Jalan Penampang – Papar Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata,
kompaun yang dikenakan itu sebaliknya membabitkan tiga individu berikutan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mohd Haris berkata SOP yang dikeluarkan adalah hanya dua individu sahaja dibenarkan menaiki bagi sesebuah kenderaan.

“Kita amat terkesan dengan mesej tular di media sosial sejak semalam itu melalui aplikasi WhatsApp berkaitan kompaun yang dikenakan terhadap individu ingkar SOP PKPB.

“Menerusi mesej yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan ‘saman dalam kereta dua penumpang tapi tidak jaga jarak, rupanya kalau dua orang dalam kereta penumpang kena duduk di belakang tepi bukan di depan atau belakang pemandu, start sdh kena kuatkuasakan ni’.

“Info yang terkandung dalam mesej tular itu juga tidak tepat dan tiada kaitan dengan imej kompaun berkenaan.

“Imej kompaun yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ialah mengenai kesalahan yang dikenakan kepada tiga individu yang menaiki sebuah kenderaan dari satu lokasi yang ditahan di SJR Jalan Penampang – Papar, Jumaat lalu.

“Ia menjadi satu kesalahan kerana tidak patuh kepada SOP PKPB yang dikeluarkan iaitu hanya dua individu sahaja dibenarkan dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Haris berkata, semua tiga individu terbabit dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penularan imej dan mesej tidak tepat seumpama itu dilihat suatu tindakan tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej pasukan polis khususnya IPD Penampang.

“Polis memandang berat perkara ini dan memberikan amaran keras kepada orang awam supaya tidak menyebarkan info palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Individu yang ingkar bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

-Tamat-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI