KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil tindakan membetulkan selain membaiki sistem perparitan termasuk longkang dalam usaha mengurangkan kejadian banjir kilat di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu melibatkan kerja-kerja mendalam, membersihkan sistem perparitan dan longkang.
Menurutnya, keputusan itu selari dengan penekanan yang diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob semasa menyampaikan Amanat Tahun Baru 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam negeri hari ini.
“Kerajaan negeri memang ada menyatakan bahawa kita akan mengambil tindakan untuk membetulkan sistem longkang dan perparitan di negeri ini. Laporan berkenaan telah dibawa kepada pihak kerajaan negeri dengan sejumlah peruntukan.
“Selain itu, kita telah membuat keputusan supaya tindakan dilakukan terutamanya di kawasan-kawasan kritikal yang telah disenaraikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Kelantan 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan JKR dan JPS mengenal pasti lokasi-lokasi yang menjadi titik panas kejadian banjir kilat pada tahun lalu.
Katanya, lebih 10 titik panas telah dikenal pasti dengan empat hingga lima titik panas dianggap kawasan kritikal dan memerlukan tindakan awal termasuk dua kawasan di Pengkalan Chepa, iaitu kawasan Desa Kujid dan Kota Jembal.
“Selain itu, saya turut meminta kerjasama orang ramai supaya menjaga kemudahan parit dan longkang kerana di setengah tempat didapati ada pihak bertindak membuang sampah ke dalam kawasan tersebut.
“Di sesetengah kawasan perumahan pula terdapat penduduk menambah binaan rumah di atas longkang sehingga menyebabkan saliran itu tertutup. Jadi, kita harap kerjasama semua pihak dalam perkara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE