PETALING JAYA – Laris bagai ‘pisang goreng panas’ apabila tiket separuh akhir Malaysia menentang Thailand dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) habis terjual sejak mula dijual, semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun Twitter rasminya pada petang tadi.
Katanya, sebanyak 59,000 tiket perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Sabtu, pukul 8.30 malam, licin terjual dan turut memaklumkan tiada penambahan tiket lagi akan dibuka kepada orang awam.
“Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang telah membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir 1, Malaysia menentang Thailand.
“Tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium,” ciapnya.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna tidak berpuas hati dengan pengumuman tersebut gara-gara 21,000 tempat duduk di ‘rumah’ Harimau Malaya terpaksa dikosongkan ekoran wujudnya struktur pentas konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou.
“Kepentingan negara patut diutamakan dan bukannya konsert yang mengutamakan keuntungan komersial. Tukarlah tarikh konsert Jay Chou dan berikan peluang rakyat Malaysia untuk penuhkan stadium negara,” luah seorang pengguna.
“Dulu penonton susah ingin bagi sokongan dalam stadium. Apabila sudah ada penonton, kami dilayan sebegini,” komen netizen yang lain pula.
Semalam, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan dan jumlah kehadiran penyokong terpaksa dikurangkan berbanding 65,147 penonton yang hadir ketika pertemuan dengan Singapura, Selasa lepas.
Tiket dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand. – KOSMO! ONLINE