KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap National Task Force (NTF) yang dibubarkan pada 31 Disember lalu dapat ‘dikembalikan’ semula.
Ini kerana kata Ahli Parlimen Rembau, pelaksanaan NTF sebelum ini bersama beberapa agensi keselamatan lain dilihat banyak membantu dalam menjaga dan memperkukuhkan sempadan daripada sebarang ancaman termasuklah ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Jelas beliau, cadangan tentang perkara itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan.
“Saya dah bincang untuk ‘hidupkan’ semula NTF dan Kabinet juga sudah mengambil maklum perkara ini. Ketua Setiausaha Negara (KSN) juga sedia maklum tentang perkara ini untuk dipertimbangan segera.
“Ini adalah usaha serius Kementerian Pertahanan untuk mempertahankan sempadan negara sama ada di darat, laut dan udara,” katanya pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad menambah, pelaksanaan Op Benteng di bawah NTF telah berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan.
“Sepanjang operasi benteng dilaksanakan sebanyak 26,477 tangkapan, 4,415 rampasan kenderaan darat, bot dan kapal serta 4,314 pengusiran berjaya dibuat membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.09 bilion,”katanya.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memaklumkan NTF dibubarkan berkuat kuasa 31 Disember lalu.
Jelas Affendi, pembubaran itu diarahkan melalui sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) bilangan 2 tahun 2022 setelah mengambil kira situasi pandemik Covid-19 negara dan dunia semakin terkawal.
NTF mula ditubuhkan pada 6 Mei 2020 melibatkan gabungan daripada 18 agensi penguatkuasa dan keselamatan negara dalam mengekang penularan Covid-19 dalam negara. – KOSMO! ONLINE