fbpx

Polis tunggu laporan Puspakom untuk lengkapkan siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian di laman Facebook yang mendesak tindakan segera diambil ke atas seorang pemandu yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal pada 19 September lalu.

HULU SELANGOR – Polis masih menunggu laporan daripada pakar perubatan dan Puspakom bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian kemalangan maut di Persiaran Bunga Raya di sini pada 11 September lalu sebelum kes dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dalam perhalanan menghala ke arah Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, siasatan awal kes kemalangan tersebut diklasifikasi di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat sehingga menyebab kemalangan berlaku.

“Siasatan kemudiannya dirujuk semula dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada 19 September lalu.

“Berdasarkan siasatan dan hasil semakan lanjut, pemandu kereta jenis Honda Accord didapati tidak mempunyai lesen memandu, kenderaan dipandu tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insuran telah tamat tempoh,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Jelas Arshad, tindakan saman telah dikeluarkan ke atas tiga kesalahan lalu lintas tersebut dan sedang menunggu laporan daripada pakar perubatan dan pihak Puspakom untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di laman Facebook satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Honda Accord di Persiaran Bunga Raya menghala ke Taman Bunga Raya Bukit Beruntung.

Muat naik yang telah dikongsi sebanyak 3,192 kali itu mendakwa, mangsa, Mohd. Nazrie Abdul Talib telah dirempuh dari belakang oleh seorang pemandu wanita warga tempatan berusia 21 tahun mengakibatkan lelaki itu mengalami kecederaan parah pada kepala.

Mangsa yang koma selama lapan hari kemudiannya disahkan meninggal dunia meninggalkan seorang isteri serta tiga anak berusia 10 hingga 17 tahun.

Majoriti netizen yang meninggalkan komen di perkongsian tersebut mendesak agar pihak polis mengambil tindakan segera ke atas pemandu berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI