PUTRAJAYA – “Saya ada dengar khabar angin, tapi tidak buat keputusan (enggan mengulas) berdasarkan khabar angin,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Itu penjelasan Ahmad Zahid berhubung khabar angin mengaitkan ada gerakan untuk menukar kerajaan dipanggil Langkah London.
Baru-baru, tular di media sosial memaparkan individu mirip Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengadakan pertemuan tertutup di sebuah lokasi di London.
Pertemuan yang disebut sebagai Langkah London itu bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana pimpinan parti berkenaan.
Malah, Langkah London itu didakwa turut didalangi dan disertai beberapa pimpinan UMNO.
Gambar itu turut dikaitkan spekulasi untuk menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO yang kini dilantik Timbalan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, semalam, Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan terlibat dengan Langkah London itu.
Menurutnya, sejak berakhirnya pilihan raya umum (PRU) lalu, beliau mengakui sentiasa mengelak daripada menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau tidak pergi atau bercuti ke London baru-baru ini tetapi hanya menghabiskan masa bersama keluarganya di Dubai. – KOSMO! ONLINE