PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) terus membulatkan tekad bagi memperkasakan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Nasional sekali gus membolehkan ia menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, susulan itu, transformasi dan penjenamaan TVET secara holistik akan dilakukan menerusi suntikan sinergi baru yang berperanan memadamkan stigma negatif terhadap TVET.
“Seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan TVET sebagai pemacu kemajuan negara, agenda memartabat dan memperkasa TVET nasional menjadi fokus utama KSM dalam usaha menjadikan ia sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.
“Bersandarkan kepada kepelbagaian program TVET dan kemudahan akses yang ditawarkan ketika ini, TVET menjadi wadah terbaik rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan sejajar aspirasi pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Menurutnya, TVET berperanan sebagai solusi serampang dua mata kerajaan dalam melahirkan modal insan tempatan berkemahiran seterusnya menjadi pelengkap persiapan negara untuk berhadapan dengan transisi populasi menua (ageing population).
“Sebelum ini, mesyuarat jemaah menteri pada 7 Disember 2022 membuat keputusan untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada KSM.
“Selaras dengan itu, KSM bersedia menggalas peranan melalui gerak kerja komprehensif dengan sokongan ekosistem TVET inklusif di KSM meliputi agensi kawal selia TVET, penyedia latihan dan pembiaya dana latihan sedia ada serta kerjasama kukuh semua pemegang taruh TVET di pihak kerajaan dan swasta,” katanya.
Jelasnya, selaku Sekretariat MTVET, KSM juga amat mengharapkan komitmen dan percambahan idea secara berterusan daripada semua pemegang taruh dalam memastikan strategi dan inisiatif agenda memartabat TVET nasional dapat dibangunkan. – KOSMO! ONLINE