fbpx

Kerani maut digilis trak pikap semasa ke tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa selepas digilis sebuah trak pikap di Jalan Kampung Teliar, Bunut Susu dekat Pasir Mas hari ini.

PASIR MAS – Seorang kerani sebuah jabatan kerajaan maut selepas digilis sebuah trak pikap semasa cuba memotong kenderaan itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Kampung Teliar, Bunut Susu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Md. Rozi Mohd. Yasim, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum digilis sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari rumahnya di Kampung Meranti Kecil di sini ke tempat kerjanya di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Kota Bharu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun itu dari arah sama.

“Jarak yang sempit menyebabkan motosikal ditunggang Md. Rozi terbabas ke bahu jalan sebelum mangsa digilis trak pikap tersebut yang tidak sempat mengelak kejadian itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah pada beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI