WIRA Harimau Malaya, Stuart Wilkin yang meledak dua gol ketika menumpaskan Singapura 4-1 mengakui sedang diulit mimpi indah selepas merekodkan tiga gol sepanjang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) kali ini.
Kualiti yang dihadirkan pada debut pada pertandingan rasmi begitu bermakna dan lebih manis kemenangan itu menutup segala keraguan terhadap kemampuan Malaysia layak ke separuh akhir.
“Saya adalah seorang pemain yang sentiasa yakin dengan kemampuan diri untuk menjaringkan gol, tetapi saya tidak pernah impikan detik hebat seperti ini, mampu menjaringkan gol di depan lebih 65,000 penyokong.
“Saya fikir senyuman saya ini menjadikan malam yang hebat buat diri saya dan berharap mampu terus menjaringkan gol ketika menyarung jersi kebangsaan,” katanya yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik.
Menyedari tugasan lebih mencabar menanti pasukan selepas ini dengan menentang juara bertahan, Thailand, pemain warisan kelahiran England ini mengakui kejayaan layak ke separuh akhir Piala AFF sudah memberi pengalaman berharga buatnya.
Bagaimanapun, bintang Sabah FC itu menegaskan, Harimau Malaya tiada jalan pintas kecuali wajib menyiapkan diri lebih baik.
“Sudah pasti separuh akhir menjanjikan tugas lebih sukar. Kami harus nikmati detik ini dan bersiap untuk pamerkan aksi terbaik bagi menghadirkan keputusan baik buat pasukan,” katanya.