fbpx

Orang Asli kini bangga ramai anak belajar di IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sherry Afidan (tujuh dari kiri) bergambar bersama Rektor UiTM Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan (enam dari kiri) pada majlis konvokesyennya di Kuantan bulan lalu.

RAUB – Masyarakat Orang Asli kini sudah mampu berbangga dengan pencapaian anak-anak mereka yang bukan hanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, malah turut me­raih pencapaian cemerlang di peringkat universiti.

Kejayaan itu dibuktikan oleh Sherry Afidan Daud, 22, yang berjaya memperoleh Diploma Pengajian Perniagaan selain me­nerima Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang.

Lebih membanggakan apabila abang kembarnya turut mendapat Diploma Pengajian Perniagaan selain kakaknya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dan Komunikasi Massa di UiTM Shah Alam pada tahun 2011.

Dua lagi kakak Sherry Afidan kini melanjutkan pengajian di sebuah kolej kejururawatan.

Sherry Afidan daripada suku Semelai berkata, dorongan ibu bapa adalah kunci utama yang memberikan motivasi kepada­nya untuk terus berusaha.

“Sejarah menarik keluarga saya bersama UiTM bermula apabila bapa menjadi antara kumpulan pelajar pertama yang mengikuti pengajian di UiTM yang ketika itu masih dikenali Institut Teknologi Mara (ITM) pada tahun 1982 hingga 1985.

“Bapa saya mengambil jurusan yang sama dengan saya iaitu Pengajian Perniagaan, dia selalu ingatkan saya bahawa subjek-subjek berkenaan mudah untuk dipelajari sehingga memotivasikan saya meraih pencapaian cemerlang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sherry Afidan yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, antara cabaran sepanjang di universiti adalah mengekalkan purata nilai gred (GPA) untuk mendapat se­narai dekan pada setiap semester.

Bagaimanapun, katanya, isu talian internet yang kurang memuaskan di rumahnya di Kampung Orang Asli Sungai Pasu menyebabkan dia menghadapi kesukaran membuat kerja kursus setiap kali pulang ke kampung.

“Saya mempunyai impian untuk menjadi anak Orang Asli yang berpelajaran tinggi dan mempunyai karier profesional de­ngan menyertai syarikat insurans terkemuka sama ada di dalam atau luar negara.

“Kami mungkin berasal dari komuniti yang kecil, tetapi semua itu tidak mustahil jika mampu menunjukkan diri kepada orang sekeliling bahawa kami mempu­nyai kegigihan untuk menjadi yang terbaik.

“Pendidikan dan ilmu adalah penting, jangan malu untuk bergaul dengan komuniti lain kerana ia akan membuka minda anda dan meluaskan pengetahuan tentang semua perkara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI