LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan keputusan pengadil tidak memberikan penalti kepada pasukannya sebagai skandal terbesar Liga Perdana Inggeris (EPL) hingga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Newcastle United, awal pagi semalam.
Arteta tetap yakin The Gunners sepatutnya dihadiahkan dua sepakan penalti dan keputusan tersebut mengakibatkan Arsenal tercicir mata di Stadium Emirates musim ini.
“Saya cukup berbangga dengan pemain saya, corak permainan dan cara kami menguasai perlawanan. Kami terus mencuba untuk terus menguasai permainan, namun berdepan kekecewaan ketika melakukan penyudah.
“Beberapa situasi kami memiliki peluang terbaik dan kami juga patut mendapatkan dua sepakan penalti. Ia adalah penalti dan saya bercakap tentang apa yang kita lihat pada perlawanan ini,” katanya.
Keputusan itu juga menyaksikan Arsenal terlepas peluang untuk memastikan jurang 10 mata berbanding Manchester City.
Walaupun dihimpit kekecewaan gagal menghadirkan mata maksimum, Arteta nyata puas untuk menyaksikannya Arsenal kekal tanpa bolos dan menyifatkan anak-anak buahnya sudah mempamerkan aksi cemerlang.
“Saya mahukan kemenangan, namun sekadar raih keputusan seri. Kami patutnya mampu tampil lebih baik terutamanya ketika berada di kawasan lawan dan penalti yang saya katakan ini patutnya mampu bantu pasukan raih kemenangan,” kata Arteta. – AGENSI