MELAKA – Kira-kira 180 pesawah yang mengusahakan tanah seluas 815 hektar Kampung Batang Tiga di sini terpaksa bergantung dengan bekalan air hujan susulan kawasan pertanian itu tidak mempunyai sistem pengairan dan saliran yang sempurna.
Seorang petani, Mohd. Zubir Muhamat, 27, yang mengusahakan sawah seluas lima ekar berkata, masalah bekalan air itu semakin memburuk apabila tiba musim kemarau.
“Sejak mengusahakan sawah milik tiga tahun lalu, hasil tuaian padi diperolehi memang tidak memberangsangkan dan kami hanya bergantung dengan air hujan.
“Bukan saya sahaja berdepan masalah ini tetapi pesawah lain juga, usahakan tanaman padi dua kali setahun pun kadang-kadang tak jadi,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Turut hadir meninjau keadaan perairan di kawasan sawah itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Menurut Ban Hong, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kemelut dihadapi golongan petani berkenaan dan satu pelan pembangunan infrastruktur dengan kos sebanyak RM29.4 juta telah dibuat.
Ujarnya, isu kekurangan bekalan air itu dijangka dapat diatasi menjelang 2025.
“Kita akan bermula melalui pengambilan tanah dan bayaran pampasan yang dijangka selesai Julai depan, sebelum kerja-kerja fizikal membina saluran paip dari Sungai Pulau Gadong hingga ke Kampung Batang Tiga bermula pada September,” ujarnya.
Jelasnya, projek tersebut akan membolehkan penanaman padi dilakukan sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun, berbanding dua kali dalam setahun seperti sebelum ini.
Terdahulu, Ban Hong turut menyerahkan sebuah pam air bernilai RM1,000 kepada Mohd. Zubir. – KOSMO! ONLINE