GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan di perairan negeri ini selepas disyaki melakukan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa permit dan bawah umur semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda dan bot Maritim Malaysia telah memeriksa dua buah bot nelayan kelas A dan C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung, sekitar pukul 9.43 pagi hingga 5 petang semalam.
Menurutnya, penahanan pertama dilakukan ke atas sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 31.4 kilometer barat daya Pulau Kendi yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak.
“Bot ini dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur 35 hingga 40 tahun. Tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu lagi, penahanan kedua adalah melibatkan bot nelayan kelas A berpangkalan di Sungai Udang oleh bot ronda Maritim di kedudukan 5.1 kilometer barat Batu Kawan.
“Bot ini dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 16 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur,” katanya.
Jelasnya, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE