SEJAK kebelakangan ini, trend glamping semakin menjadi pilihan ramai terutama buat mereka yang sukakan keindahan alam semula jadi.
Sebuah lagi lokasi glamping yang sedang meningkat naik dan hangat diperkatakan dalam laman sosial adalah Glow Glamping @ Wetland Putrajaya (Glow Glamping).
Lokasi berkenaan amat sesuai untuk warga Lembah Klang yang mahukan percutian singkat.
Menariknya, Glow Glamping menawarkan percutian dengan keselesaan bertaraf hotel dalam suasana alam semula jadi mendamaikan.
Menurut pemiliknya, Mohd. Nor Arif Mohd. Azmi, penginapan yang memulakan operasi sejak akhir 2021 itu terletak di Presint 13, Putrajaya.
“Suasana di sini tidak sama seperti anda berada atau bermalam di dalam hutan. Glamping ini lebih terasa seperti anda berada di dalam taman.
“Apa yang boleh saya katakan, kami masih boleh mengekalkan keindahan outdoor, namun lebih kemas dan teratur.
“Walaupun bukan berada di dalam hutan, anda akan tetap terasa aman dan damai tanpa bunyi bising serta hiruk-pikuk kota raya,” katanya.
Menurut Mohd. Nor Arif yang juga pemilik Gopeng Glamping Park di Perak, terdapat 10 khemah disediakan di situ.
Jelasnya, setiap khemah boleh memuatkan sehingga empat orang pada satu-satu masa.
“Suasana di dalam khemah sangat selesa dan setaraf dengan bilik hotel. Kami menyediakan kelengkapan katil bersaiz queen yang lengkap dengan alas dan set selimut, pendingin hawa dan ruang duduk beralas permaidani cantik.
“Kemudahan soket elektrik turut disediakan untuk memudahkan pelawat menggunakan barangan elektronik seperti pengecas telefon, pengering rambut, radio, dan sebagainya.
“Kami juga menawarkan 20 tapak khas buat mereka yang mahu membawa khemah sendiri dan merasai pengalaman berkhemah sebenar,” ujarnya.
Tambahnya, kemudahan bilik mandi dan tandas yang selesa juga disediakan, selain peralatan dapur, unggun api atau campfire serta surau.
Ditanya mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di situ, Mohd. Nor Arif berkata, pihaknya menawarkan pelbagai kegiatan sepanjang dua hari satu malam kepada pengunjung.
Antaranya adalah berbasikal, trampolin, memanah, karaoke, barbeku, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), bermain buaian sarang burung, flying fox, night trail, permainan karom, memancing dan banyak lagi.
Menariknya, Glow Glamping menawarkan pakej termasuk makan empat kali sehari pada harga serendah RM168 (dewasa) dan RM108 (kanak-kanak).
“Pakej makan ini tidak pernah ditawarkan oleh tempat glamping lain. Makanan yang kami tawarkan disediakan oleh tukang masak berpengalaman dan pastinya sedap.
“Bagi makan tengah hari, lauk-pauk ala kampung bakal dihidangkan dan pastinya ia memenuhi cita rasa semua lapisan masyarakat,” katanya.