PETALING JAYA – Menghias atau mengubah suai rumah yang baharu dimiliki mengikut keinginan sendiri semamangnya menjadi impian setiap pemilik kediaman.
Bagi menyempurnakan impian tersebut LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Goodnite telah menjalin kerjasama melalui program kesetiaan pelanggan ‘Ubah suai rumah LBS bersama Goodnite’ di mana pemilik kediaman LBS secara eksklusifnya bakal berpeluang untuk memenangi ubah suai rumah bersama Goodnite bernilai RM150,000.
Program tersebut terbuka kepada semua pembeli rumah LBS dan pemenang bertuah berpeluang untuk mengubahsuai dengan pilihan reka bentuk ruang tamu sehingga ke set bilik tidur yang dianggarkan bernilai RM25,000.
Goodnite International Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Goodnite Group, merupakan syarikat ternama yang terlibat di dalam pembuatan, perusahaan dan pengedaran produk barangan kelengkapan bilik tidur dan perabot dengan 23 cawangan di seluruh Malaysia yang menawarkan pelbagai barangan perabot kediaman seperti sofa, set meja makan dan aksesori berkaitan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina, Tan Sri Lim Hock San berkata, memiliki sebuah rumah merupakan satu pencapaian yang menakjubkan tetapi pihaknya faham bahawa terdapat banyak lagi langkah-langkah yang perlu diambil selepas mendapat kunci rumah idaman.
Menurutnya, sebahagian besar daripada simpanan kita kemudiannya perlu digunakan untuk menghias dan mengubah suai rumah.
“Berpindah ke rumah baharu boleh menjadi salah satu titik kegembiraan, namun ianya boleh juga menimbulkan perkara-perkara yang tidak dijangka seperti kos dan idea untuk menghias rumah baharu.
“Selama bertahun-tahun, LBS telah memperkenalkan pelbagai pakej kelengkapan rumah yang menawarkan pengalaman yang mudah, tanpa kerumitan dan mesra dompet,” katanya.
Tambahnya, melalui kerjasama strategik ini, pihaknya berpeluang untuk melihat pemilik rumah LBS bertuah mengubah suai rumah mereka.
Pemilik rumah boleh memilih ruang atau bahagian rumah yang difikirkan sesuai untuk mendapat sentuhan ubah suai serta penataan perabot yang bersesuaian.
Semua pemilik rumah di projek-projek LBS secara automatik layak untuk menyertai kempen ubah suai tersebut.
Untuk terpilih sebagai pemenang bertuah, pemilik rumah LBS hanya perlu mengambil gambar ruang tamu, ruang makan atau bilik tidur yang difikirkan perlu pengubahsuaian.
Kemudian muat naik gambar tersebut ke homemakeover.lbs.com.my, melengkapkan slogan dan ikuti serta klik ‘suka’ di platform laman media sosial, Facebook dan Instagram LBS.
Tempoh peraduan akan berlangsung dari 3 Januari sehingga 30hb April 2023.