fbpx

Aliff Aziz mohon maaf, harap 2023 tahun lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIFF AZIZ berharap kehadiran tahun 2023 memberi kebahagiaan dan lebih baik berbanding tahun lalu.

PETALING JAYA – Selepas melalui pelbagai episod suka dan duka sepanjang tahun 2022, penyanyi dan juga pelakon Aliff Aziz berharap kehadiran tahun baharu 2023 dapat memberi sinar bahagia buat keluarganya.

Pada masa sama, selebriti kelahiran Singapura itu bersyukur kerana telah mencipta pelbagai memori dan pengalaman indah bersama keluarga sepanjang tahun lalu.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah SWT untuk tahun lalu (2022) yang penuh dengan memori dan pengalaman indah bersama keluarga. Banyak pengajaran yang saya dapat sepanjang tahun lepas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aliff bersama isterinya, Bella Astillah turut memohon maaf kepada semua pihak jika dirinya ada melakukan kesilapan dan kekurangan selain berdoa agar tahun baharu 2023 menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Kami ingin memohon maaf untuk segala kesilapan dan kekurangan. Kami juga mendoakan semua semoga tahun baharu ini menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Semoga Allah kurniakan kita semua dengan kebaikan sepanjang tahun ini,” tulisnya dalam Instagram.

Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut berkongsi rasa gembira dan terharu apabila hubungan antara Aliff dan isterinya yang sebelum ini pernah mengalami keretakan kembali jernih dan harmoni dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

“Saya gembira bila abang Aliff dan kak Bella kembali bersama. Harap-Harap semoga hubungan kamu berdua kekal hingga ke syurga,” kata seorang pengikutnya.

“Semoga Aliff dan keluarga baik-baik semuanya dan dijauhkan daripada manusia berhati busuk, cengki dan berniat jahat,” doa seorang lagi peminatnya.

“Seronok tengok kehidupan Aliff dan Bella sekarang. Semoga sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah,” ujar seorang pengguna Instagram.

Terdahulu, Bella mendedahkan bahawa dia bersama suaminya telah terkena sihir pemisah rumah tangga yang dihantar oleh seorang wanita.

Kata Bella, sihir tersebut telah memberi kesan buruk terhadap keluarganya apabila hubungannya bersama suami menjadi dingin selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh edah. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 5, dan Ara, 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI