fbpx

Mahkamah: Dua lagi kakitangan Hospital Kajang dijel, denda dagang jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Dua lagi kakitangan Hospital Kajang dipenjara enam hingga lapan hari oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah dalam urusan ‘memperdagangkan’ jenazah Islam antara 2019 dan 2021.

Mohd. Fariq Ariffin dan Mohd. Redzuan Che Husain yang masing-masing berusia 34 tahun turut didenda antara RM11,000 dan RM20,000.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas kedua-dua mereka yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan Gred U29 membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan pilihan dibacakan kepada mereka.

Mahkamah turut memerintahkan tambahan penjara 18 bulan kepada Mohd. Fariq bagi tiga pertuduhan diakuinya dan 24 bulan bagi empat pertuduhan kepada Mohd. Redzuan sekiranya gagal bayar denda itu.

Berdasarkan kesemua pertuduhan itu, kedua-dua mereka semasa kejadian bertugas di Unit Forensik Hospital Kajang telah menerima suapan antara RM1,000 dan RM1,550 melalui akaun bank masing-masing daripada seorang seorang lelaki berusia 35 tahun tanpa balasan bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Kesalahan itu dilakukan Mohd. Fariq di cawangan bank di Taman Medan Bercham, Ipoh Perak manakala Mohd. Redzuan di cawangan bank di Petaling Jaya antara 14 Ogos 2019 hingga 21 Januari tahun lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Difahamkan ketiga-tiga mereka telah digantung tugas sejak April lalu sehingga kini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Bin Shahruzaman dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Mohd. Fikah Sanusi.

Kosmo! pada 22 Disember tahun lalu melaporkan perbuatan tiga kakitangan Hospital Kajang terlibat dalam urusan ‘memperdagangkan’ jenazah Islam membawa padah apabila dipenjara sehari dan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI