fbpx

KPKT minta wujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming sewaktu meninjau keadaan tandas awam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam. FACEBOOK NGA KOR MING

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut jadual ditetapkan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah ini bagi memastikan tandas awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan bersih, berfungsi dengan baik dan teratur.

“Kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama pelancongan atau pintu masuk ke negara kita.

“Selain itu, tandas awam bertaraf ‘BMW’ iaitu bersih, menawan dan wangi juga akan meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap PBT,” katanya pada hantaran Facebook.

Terdahulu, beliau telah melawat destinasi popular pelancong di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam serta melihat sendiri kebersihan tandas awam di situ.

“Sebelum ini saya telah menerima aduan daripada orang ramai berkenaan keadaan tandas awam di sini. Saya mendapati tahap kebersihan tandas awam Dataran Merdeka agak memuaskan dan sistem pencahayaan juga berfungsi dengan baik.

“Walau bagaimanapun, saya melihat bumbung siling tandas awam lelaki rosak, sabun pencuci tangan tidak diisi semula dan ada paip air tidak berfungsi,” ujarnya.

Kor Ming berkata, tinjauan beliau malam tadi juga mendapati, beberapa masalah wajar diperbaiki di sekitar Dataran Merdeka iaitu padang rumput yang ‘botak’ dan kurang sempurna, tempat ruang niaga bawah tanah dalam keadaan usang dan kotak suis elektrik tidak ditutup dengan baik serta membahayakan keselamatan pengunjung.

“Saya akan bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dalam masa terdekat. KPKT di bawah pimpinan saya akan mencari jalan penyelesaian terbaik agar infrastruktur atau kemudahan awam yang dibina dengan duit rakyat dapat dijaga dan diselenggarakan dengan baik serta sentiasa berada dalam keadaan memuaskan.

“Budaya penyelenggaraan wajar dititik berat dan dipandang serius oleh semua agensi kerajaan. Demi kesejahteraan rakyat, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan tempat awam serta menyokong usaha KPKT membantu negara kita makmur, mampan dan saksama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI